Pengikut

Selasa, 11 Disember 2012

TEKA TEKI NAMA BUAH


Naik basikal pergi ke pekan,
Singgah membeli periuk belanga,  
Sungguh manis bila dimakan,
Kulitnya merah berambut pula.

Tiap pagi pergi ke sawah,
Mencari rezeki untuk keluarga,
Terkenal sebagai raja buah,
Durinya tajam tidak terkira.


Kampung seberang dipukul ribut,
Jadi sebutan zaman berzaman
Rasa gerun bila disebut,
Tetapi lembut bila ditelan.


Selepas subuh pergi ke kota,
Meraduk lumpur dan juga paya,
Buah ini mempunyai mahkota,
Badannya pula dipenuhi mata.


Adik kecil mukanya bersih,
Selepas dimandi oleh bonda,
Kulitnya hitam isinya putih,
Rasanya manis seperti gula.



Pergi ke muara menaiki rakit,
Bawa balik bunga yang mekar,
Buah ini pelik sedikit,
Bijinya pula ada di luar.


Pak Hitam pergi ke hutan,
Membawa pulang kayu utas,
Bentuknya seperti buah rambutan,
Hendak makan badannya dipulas.   

Isnin, 10 Disember 2012

TEKA TEKI NAMA BENDA



Pisang berangan dibuat pengat,
Dicampur dengan gula melaka,
Setiap detik setiap saat,
Menghitung waktu tak kira masa.

Bunga melur bunga cempaka,
Letak disanggul oleh sidara,
Dipakai untuk melihat dan membaca,
Ada pula untuk bergaya.

Matahari terbit sudahlah tinggi,
Itulah tanda sudah dinihari,
Selalu dipakai di bawah kaki,
Untuk berjalan dan juga berlari.

Berbagai bentuk dan juga warna,
Bila memakai bertambah jelita,
Menutup aurat tujuan utama,
Dapat pahala berganda-ganda.

Di Pulau Mutiara menaiki beca,
Melancung bersama ayah dan bonda,
Selalu diselak dan juga dibaca,
Agar penuh ilmu di dada.

Wahai adik cubalah fikir,
Dibawa ke sekolah setiap masa,
Diguna untuk menulis dan mengukir,
Kadang kala diguna untuk mengira.

Berbagai bentuk dan juga rasa,
Perisa durian, coklat apa sahaja.
Walaupun sejuk tidak terkira,
Menjadi kesukaan si kecil  juga dewasa,

Selepas mandi memakai baju,
Terus pergi ke rumah datuk,
Dahulu dipakai pahlawan melayu,
Hujungnya tajam tepinya berkeluk-keluk.

Pelbagai warna pelbagai rupa,
Terbang tinggi menari-nari,
Menjadi kegembaran tua dan muda,
Awas! datang ribut terputus tali.

Warna biru cantik menawan,
Warna merah warna kegemaran.
Semasa kecil menjadi kawan,
Sudah besar menjadi lawan.

Jumaat, 7 Disember 2012

GURINDAM MELAYU



GURINDAM MELAYU (GURINDAM 12 RAJA ALI HAJI)
Gurindam 12 – Fasa 1
barang siapa tiada memegang agama
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama
barang siapa mengenal yang empat
maka iaitulah orang yang makrifat
barang siapa mengenal Allah
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah
barang siapa mengenal diri
maka telah mengenal akan tuhan yang bahri
barang siapa mengenal dunia
tahulah ia barang yang terperdaya
barang siapa mengenal akhirat
tahulah ia dunia mudarat
Gurindam 12 – Fasal 2
barang siapa mengenal yang tersebut
tahulah ia makna takut
barang siapa meninggalkan sembahyang
seperti rumah tiada bertiang
barang siapa meninggalkan puasa
tidaklah mendapat dua termasa
barang siapa meninggalkan zakat
tiada hartanya beroleh berkat
barang siapa meninggalkan haji
tiadalah ia menyempurnakan janji
Gurindam 12 – Fasal 3
apabila terpelihara mata
sedikitlah cita-cita
apabila terpelihara kuping
khabar yang jahat tiadalah damping
apabila terpelihara lidah
nescaya dapat daripadanya faedah
bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
daripada segala berat dan ringan
apabila perut terlalu penuh
keluarlah fi‘il yang tiada senonoh
anggota tengah hendaklah ingat
di situlah banyak orang yang hilang semangat
hendaklah peliharakan kaki
daripada berjalan yang membawa rugi

Gurindam 12 – Fasal 5
jika hendak mengenal orang berbangsa
lihat kepada budi dan bahasa
jika hendak mengenal orang yang berbahagia
sangat memeliharakan yang sia-sia
jika hendak mengenal orang mulia
lihatlah kepada kelakuan dia
jika hendak mengenal orang yang berilmu
bertanya dan
belajar tiadalah jemu
jika hendak mengenal orang yang berakal
di dalam dunia mengambil bekal
jika hendak mengenal orang yang baik perangai
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai
Gurindam 12 – Fasal 7
apabila banyak berkata-kata
di situlah jalan masuk dusta
apabila banyak berlebih-lebihan suka
itulah tanda hampirkan duka
apabila kita kurang siasat
itulah tanda
pekerjaan hendak sesat
apabila anak tidak dilatih
jika besar bapanya letih
apabila banyak mencacat orang
itulah tanda dirinya kurang
apabila orang yang banyak tidur
sia-sia sahajalah umur
apabila mendengar akan khabar
menerimanya itu hendaklah sabar
apabila mendengar akan aduan
membicarakannya itu hendaklah cemburuan
apabila perkataan yang lemah lembut
lekaslah segala orang mengikut
apabila perkataan yang amat kasar
lekaslah orang sekalian gusar
apabila pekerjaan yang amat benar
tiada boleh orang berbuat honar
Gurindam 12 – Fasal 8
barang siapa khianat akan dirinya
apalagi kepada lainnya
kepada dirinya ia aniaya
orang itu jangan engkau percaya
lidah suka membenarkan dirinya
daripada yang lain dapat kesalahannya
daripada memuji diri hendaklah sabar
biar daripada orang datangnya khabar
orang yang suka menampakkan jasa
setengah daripada syirik mengaku kuasa
kejahatan diri sembunyikan
kebajikan diri diamkan
keaiban orang jangan dibuka
keaiban diri hendaklah sangka
Gurindam 12 – Fasal 9
tahu pekerjaan tak baik tapi dikerjakan
bukannya manusia ia itulah syaitan
kejahatan seorang perempuan tua
itulah iblis punya penggawa
kepada segala hamba-hamba raja
di situlah syaitan tempatnya manja
kebanyakan orang yang muda-muda
di situlah syaitan tempat bergoda
perkumpulan laki-laki dengan perempuan
di situlah syaitan punya jamuan
adapun orang tua yang hemat
syaitan tak suka membuat sahabat
jika orang muda kuat berguru
dengan syaitan jadi berseteru
Gurindam 12 – Fasal 10
dengan bapa jangan durhaka
supaya Allah tidak murka
dengan ibu hendaklah hormat
supaya badan dapat selamat
dengan anak janganlah lalai
supaya boleh naik ke tengah balai
dengan kawan hendaklah adil
supaya tangannya jadi kapil
Gurindam 12 – Fasal 11
hendaklah berjasa
kepada yang sebangsa
hendaklah jadi kepala
buang perangai yang cela
hendak memegang amanat
buanglah khianat
hendak marah
dahulukan hujjah
hendak dimalui
jangan memalui
hendak ramai
murahkan perangai
Gurindam 12 – Fasal 12
raja mufakat dengan menteri
seperti kebun berpagar duri
betul hati kepada raja
tanda jadi sebarang kerja
hukum adil atas rakyat
tanda raja beroleh inayat
kasihkan orang yang berilmu
tanda rahmat atas dirimu
hormat akan orang yang pandai
tanda mengenal kasa dan cindai
ingatkan dirinya mati
itulah asal berbuat bakti
akhirat itu terlalu nyata
kepada hati yang tidak buta